Keratan akhbar di atas menunjukkan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan pendidikan silang budaya. Pelbagai usaha telah dilakukan dalam mengintegrasikan penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar sosiobudaya sejak dari dahulu lagi sehinggalah sekarang.
Budaya merujuk kepada ciri-ciri atau hasilan tingkah laku yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya (Amir 2002). Pelbagai budaya ialah satu sistem
kepercayaan dan tingkah laku yang mengiktiraf dan menghormati kewujudan
kepelbagaian dalam kelompok sebuah organisasi atau masyarakat, mengakui dan
menghargai perbezaan sosiobudaya, dan menggalakkan dan menerima sumbangan
berterusan mereka dalam konteks dan budaya yang inklusif dalam organisasi atau
masyarakat berkenaan.
Pendidikan Pelbagai Budaya
Kepelbagaian
latar belakang individu dalam masyarakat mempengaruhi kepelbagaian latar
belakang para pelajar dalam institusi pendidikan (Banks, 1989). Dalam
konteks Malaysia,
para pelajar di institusi pendidikan terdiri daripada pelajar yang memiliki
pelbagai latar belakang berbeza seperti agama, etnik, bahasa, dan budaya. Hal
ini menunjukkan kewajaran mengenai kepentingan pendidikan pelbagai budaya. Pendidikan
pelbagai budaya ialah
proses atau strategi pendidikan yang melibatkan lebih daripada satu budaya,
yang ditunjukkan melalui bahasa, etnik, atau ciri-ciri ras (Saha, 1997). Pendidikan
pelbagai budaya boleh berlaku dalam pendidikan formal atau tidak formal. Tujuan
pendidikan pelbagai budaya adalah untuk mewujudkan kesedaran, toleransi,
pemahaman, dan pengetahuan yang mengambil kira perbezaan dan persamaan antara
budaya dan kaitannya dengan pandangan dunia, konsep, nilai, keyakinan, dan
sikap.
Pendidikan pelbagai
budaya dapat dilihat dari tiga aspek: konsep, gerakan, dan proses (Banks 1989). Dari aspek konsep, pendidikan pelbagai budaya merupakan idea yang melihat
semua pelajar mempunyai hak yang sama untuk belajar di dalam kelas tanpa
membezakan mereka dari segi jantina, kelas sosial, etnik atau kriteria lain. Dari aspek gerakan, pendidikan pelbagai budaya didefinisikan sebagai usaha
untuk mengubah institusi-institusi pendidikan sehingga pelajar daripada semua
kaum, kelas sosial, jantina dan lain-lain memiliki peluang yang sama untuk
belajar. Dari aspek proses, pendidikan pelbagai budaya dapat difahami sebagai
proses untuk mencapai tujuan agar kesamaan pendidikan dapat dicapai oleh semua
pelajar.
No comments:
Post a Comment